Saturday, 15 December 2012

Sejarah Balai Seri Andika


Latar Belakang
Balai Seri Andika merupakan Balai Kediaman Resmi AlMarhum YTM Dato’ Hj Adnan bin Hj Maah, Undang Luak Rembau yang ke 20. Ia mula dibina pada tahun 1980 dan siap sepenuhnya pada tahun 1982. Reka bentuk kediaman ini adalah bercirikan Rumah Minangkabau. Pembinaannya juga dibantu oleh dua orang ahli senibina dari Bukit Tinggi Indonesia yang meluangkan masa selama tiga bulan di Rembau untuk memastikan bumbung kediaman tersebut benar-benar menggambarkan senibina Rumah Minangkabau.

Balai Seri Andika merupakan kediaman milik persendirian. Ia terletak di Km 25 Jalan Seremban-Tampin dan mempunyai keluasan tanah seluas enam belas ekar dimana seluas lima ekar diperuntukkan bagi tapak kediaman dan tanah lapang manakala sebelas ekar lagi adalah kawasan bagi dusun buah-buahan. Bangunan kediaman tersebut antara lain, mempunyai sembilan kamar tidur dan bilik bersenang, dua ruang tamu, dua ruang makan, satu ruang permainan, perpustakaan, lobi, teres, ruang legar dan kuarters pembantu.

Sejarah Keluarga
YTM Dato’ Sedia Raja Hj Adnan bin Hj Maah telah mendirikan rumahtangga dengan YM To’ Puan Hajjah Rahimah binti Hj Alias yang merupakan anakanda kepada seorang Penghulu Mukim pada tahun 1955. Hasil dari perkahwinan tersebut mereka telah dikurniakan dengan tujuh orang cahaya mata, tiga orang putera dan empat orang puteri. Kesemua putera dan puteri mereka telah menamatkan pengajian di peringkat universiti dalam pelbagai bidang dan kini masing-masing berkhidmat di sektor awam dan swasta.

Majlis-Majlis Keraian Di Balai Seri Andika
Semenjak tahun 1982 apabila Balai Seri Andika siap dibina, sehinggalah tahun 1999, sebanyak sembilan Majlis Perkahwinan telah diadakan di kediaman ini. Tujuh daripadanya adalah majlis perkahwinan putera dan puteri YTM Dato’ Sedia Raja Undang Luak Rembau manakala dua lagi adalah majlis perkahwinan adinda dan anak saudara YM To’ Puan. Perkahwinan putera dan puteri YTM Dato’ Undang telah diadakan dengan penuh adat istiadat mengikut Adat Perpateh Negeri Sembilan.

Selain dari majlis perkahwinan, majlis-majlis agama, majlis-majlis adat dan kerapatan serta majlis-majlis ilmu sering diadakan di kediaman Balai Seri Andika. Namun setelah kembalinya ke Rahmatullah Almarhum Dato’ Sedia Raja Haji Adnan bin Haji Ma’ah dan Almarhumah To’Puan Hajjah Rahimah binti Haji Alias, kediaman ini tidak lagi didiami oleh penghuni tetap. Sungguh pun demikian ia tetap di senggara sebaik mungkin oleh pewaris-pewaris Almarhum.

Peluang Merakam Kenangan Manis
Mulai 1 Julai 2013, orang ramai bolehlah menempah untuk merakam dan mengabadikan kenangan manis di Balai Seri Andika yang unik ini dengan mengadakan majlis perkahwinan di sini. Dengan halaman kediamannya yang luas, ‘contour’ tanah yang bertingkat dengan flora dan fauna yang pelbagai serta berlatarbelakangkan bangunan Rumah Minankabau yang unik, balai Seri Andika  menjadi lokasi yang sesuai untuk mengadakan majlis keraian. Terdapat banyak sudut-sudut yang menarik bagi tujuan fotografi ‘indoor’ dan ‘outdoor’ yang boleh memberi keterujaan kepada jurugambar untuk membuat rakaman.

Sebagai permulaan, ia akan dibuka untuk tempahan bagi majlis perkahwinan yang akan diadakan bermula 1 Julai  2013 dan seterusnya. Terdapat beberapa konsep perkahwinan dengan pakej yang menarik disediakan. Harga yang ditawarkan juga adalah berpatutan bagi mempromosi Balai Seri Andika sebagai lokasi perkahwinan yang dapat memberi kegembiraan dan kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh pasangan mempelai.



1 comment:

eza said...

Bilakah pakej perkahwinan beserta harganya boleh diketahui